fb fb fb fb fb

Pindaan Ordinan Buruh Sabah diluluskan selepas 20 tahun

Menteri Sumber Manusia Steven Sim.-Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Oktober- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sabah (OBS) (Pindaan) 2024 selepas 20 tahun.

Kali pertama dan terakhir OBS dipinda adalah pada tahun 2005.

Rang Undang Undang berkenaan diluluskan dengan suara majoriti selepas bacaan kali kedua oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Usul pindaan itu dibahaskan oleh 10 Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang.

Semasa sesi penggulungan, Sim berkata pindaan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan hak dan kebajikan pekerja di Semenanjung dan 2.06 juta pekerja Sabah adalah setara serta selari dengan standard perburuhan antarabangsa.

Menurutnya OBS memberikan perlindungan asas kepada pekerja khususnya yang tidak berkesatuan dan kurang berkeupayaan untuk berunding dengan majikan bagi mendapatkan terma dan syarat pekerjaan lebih baik.

Antara perkara utama dalam pindaan itu melibatkan waktu bekerja yang dikurangkan daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu, peruntukan baharu tentang aturan kerja anjal, peruntukan aduan buruh paksa, penambahan bab baharu 11B tentang gangguan seksual serta yang berkaitan perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja.

Selain itu, tempoh cuti bersalin di Sabah dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari.

Manakala cuti paterniti yang tidak diperuntukkan bawah Ordinan itu sebelum ini, kini diberikan kepada golongan bapa sebanyak tujuh hari.

Trainee