KUALA NERUS, 24 Ogos - Lebih 1,000 kilometer merentasi Laut China Selatan, ia bukan penghalang buat peserta RXZ Members 7.0 dari Borneo untuk bersama-sama memeriahkan program itu di Litar Permotoran Gong Badak, di sini.
Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke Pantai Timur, keterujaan mereka terserlah dengan membawa semangat persaudaraan dan minat mendalam terhadap jentera lagenda dua roda itu.
Mereka sanggup mengangkut motosikal menggunakan kontena, bagi memastikan motosikal kesayangan berada di gelanggang perhimpunan kali ini.
Perjalanan jauh itu bukan sahaja menunjukkan kecintaan terhadap motosikal tetapi juga peluang memperkukuh silaturahim antara pemilik dan peminat dari seluruh negara.
Peserta dari Bongawan, Sabah Zulfadli Musri berkata, dia sememangnya menantikan peluang keemasan untuk turut serta pada program kali ini.
"Kebanyakan yang hadir, bukan daripada anak orang berada. Dia orang biasa tapi kerana minat, mereka tetap berusaha untuk sama-sama berkumpul dalam program RXZ Members 7.0 di Terengganu.
"Apabila pengumunan pada Februari, kita memang cuba untuk menyimpan sebab nak pergi program ini. Alhamdulillah, hari ini dapat juga berada di sini," katanya.
Sementara itu peserta dari Lahad Datu, Sabah Abd Manaf Haffizee Abd Mues berkata, dia juga tidak melepaskan peluang untuk menyertai program kali ini.
"Sebab memang minat dari dulu, cuma tak ada masa. Kita pun kerja, jadi sekarang masa sesuai untuk turut sama dengan peserta lain pada program kali ini.
"Tahun ini baru dapat rezeki untuk turut serta dengan program ini. Alhamdulillah dapat juga kumpul kira-kira RM5,000 dalam masa tiga bulan," katanya.
Bagi peserta dari Kota Samarahan, Sarawak Ismawandi Kipli, sebaik menerima pengumuman itu dia tidak melepaskan peluang untuk turut serta dengan peserta program RXZ Members 7.0 di Terengganu.
"Kita memang tunggu saat pengumuman tarikh program. Selepas itu kita semua cari tikat kapal terbang yang sesuai dengan bajet.
"Saya sangat teruja dengan program ini, sebab perasaan dekat Lebuhraya LPT membawa aura berbeza," katanya.
Keunikan program seumpama itu bukan sekadar mengenai motosikal, tetapi lebih tertumpu kepada ikatan komuniti menerusi minat yang sama.
Lebih 100,000 peserta berkumpul di Litar Permotoran Terengganu bagi menjayakan program selama dua hari itu.