fb fb fb fb fb

Pesawat ringan terhempas sedang jalani latihan penerbangan

Foto RTM

IPOH, 4 Mei - Pesawat ringan yang terhempas di sebuah ladang dekat Felda Gunung Besout 2, Sungkai di sini pada pagi tadi dilaporkan sedang menjalani latihan penerbangan.

Menurut Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika kejadian pesawat CESSNA 172 Skyhawk dengan pendaftaran 9M-ADA berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh pada pukul 7.59 pagi ke Tanjung Karang, Selangor sebelum berpatah balik ke Ipoh sebelum terhempas pada pukul 9.30 pagi.

Menurutnya, semasa berpatah balik, pesawat kendalian Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd itu terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur pada pukul 9.35 pagi.

Dalam kejadian tersebut, dua mangsa iaitu Kapten Shahrul Imran 30-an merupakan jurulatih penerbangan; mengalami patah paha kiri.

Manakala seorang lagi mangsa, Le Ho Jia 20-an (pelatih) cedera di bahagian muka.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Slim River untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dalam kemyataan memaklumkan pesawat yang dinaiki dua mangsa itu telah berlepas pada pukul 7.45 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Ipoh dan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) menerima panggilan terakhir di Slim River pada pukul 9.35 pagi.

Pusat koordinasi Menyelamat Aeronautika Kuala Lumpur (KLARCC) CAAM di KLATCC diaktifkan pada pukul 10.15 pagi bagi tujuan koordinasi operasi mencari dan menyelamat.

Siasatan lanjut akan dilaksanakan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di Bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD