fb fb fb fb fb

Pesawat ringan lakukan pendaratan cemas di LTSAAS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 26 April- Sebuah pesawat ringan melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, dua minit selepas berlepas pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia Datuk Norazman Mahmud dalam satu kenyataan berkata, dua juruterbang yang berada dalam pesawat ringan jenis Diamond DA-42 dengan nombor pendaftaran N566CB dikendalikan Techstrait Ltd, selamat. 

"Pesawat itu berlepas pada pukul 8.26 pagi dari LTSAAS dan pihak Menara Kawalan Trafik Udara Subang telah menerima panggilan kecemasan sejurus selepas pesawat berlepas. Pesawat kemudiannya membuat pendaratan cemas pada 8.28 pagi," katanya. 

Norazman Mahmud berkata landasan lapangan terbang terlibat ditutup kepada operasi penerbangan buat sementara, sehingga pesawat itu dialihkan dari landasan.

Bagaimanapun siasatan lanjut akan dilaksanakan Biro Siasatan Kemalangan Udara bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI