SUNGAI BULOH, 13 Disember- Sebanyak RM10 Juta diperuntuk menerusi Skim Pembiayaan Perniagaan untuk Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bakal bersara serta terlibat dengan industri agro makanan.
Skim tersebut diperkenalkan hasil kolaborasi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) bersama Agrobank.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata mereka yang berkelayakan berpeluang menikmati pembiayaan bermula RM1,000 sehingga RM5 juta.
"Manfaat daripada skim ini ada tiga peratus keuntungan pembiayaan maksimum 12 bulan moratorium bagi memudahkan pembayaran.
"Bakal pesara dan veteran ATM akan dibimbing menerusi program keusahawanan oleh Agrobank dipanggil sebagai pusat kecemerlangan. Bila kita bekerjasama dengan Agrobank, ia akan terbuka kepada seluruh veteran kita terlibat dalam agro makanan, ini satu permulaan yang agak baik", katanya.
Beliau bercakap selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Diploma Lanjutan dan Diploma Kemahiran Malaysia di Selangor.
Seramai 824 Anggota dan Veteran ATM berjaya ditauliahkan dengan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia dan Diploma Kemahiran Malaysia bagi tahun ini di bawah Program Recognition of Prior Experiential Learning (R-PEL).
Selesai majlis tersebut, beliau turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dengan pihak Agrobank, Universiti Putra Malaysia (UPM), Seicom System Sdn. Bhd. dan Persatuan Veteran ATM (PVATM).