KUALA LUMPUR, 26 September- Kementererian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berharap peruntukan lebih tinggi disediakan untuk kementerian itu dalam Belanjawan 2025.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, beliau yakin peruntukan itu mampu merealisasikan inisiatif KUSKOP dalam membangunkan Perniagaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) serta koperasi negara.
"Peruntukan lebih besar kepada kementerian membolehkan kami menjayakan pelbagai inisiatif untuk membangunkan PMKS dan koperasi negara kita.
"...sesuai dengan cadangan-cadangan yang kita terima daripada agensi-agensi, bahagian-bahagian di kementerian serta cadangan daripada pemegang taruh sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Perhimpunan Menteri KUSKOP bersama warga dan agensi di bawah kementerian itu di ibu negara.
Menerusi Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM778.8 juta untuk KUSKOP.
Dalam pada itu, warga KUSKOP dan agensi digalakkan mengemuka cadangan kreatif dan inovatif bagi pembangunan keusahawanan bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMke-13).