fb fb fb fb fb

Pertingkat kesedaran alam sekitar, media dan pempengaruh tonggak penting - JAS

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar

PUTRAJAYA, 30 November- Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyeru pempengaruh serta pihak media memainkan peranan penting dalam mewujudkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, kesedaran masyarakat terhadap alam sekitar dalam tahap yang baik.

Walau bagaimanapun, masih ada segelintir masyarakat yang masih tidak melaksanakan tanggungjawab tersebut untuk memelihara dan memulihara alam sekitar.

"Daripada segi pelaksanaan itu, mereka mungkin sedar. Kita perlu jaga alam sekitar tetapi sampah masih dibuang, sungai masih dicemari dan sebagainya."

"Oleh itu, kita nak bantuan pihak media, para pempengaruh dan pelbagai pihak berkaitan untuk bantu kita bersama memberi dan meningkatkan kesedaran rakyat. Bukan hanya sekadar sedar tetapi bersama melaksanakan," kata Wan Abdul Latiff kepada pemberita selepas program Sesi Interaktif Ketua Pengarah Alam Sekitar bersama pempengaruh dan pengamal media, di sini.

JAS juga melihat kepentingan media dalam membentuk budaya hidup masyarakat yang mempunyai kesedaran tinggi terhadap penjagaan alam sekitar.

Tambahnya, beliau menggesa masyarakat untuk membuat aduan sekiranya terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan pencemaran alam sekitar.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM