fb fb fb fb fb

Pertemuan dengan RSF, bincang kaedah terbaik tangani berita palsu dan maklumat tidak benar

Foto hiasan/ Foto RTM

GEORGETOWN, 4 Mei -Menteri komunikasi, Fahmi Fadzil bersetuju untuk mengadakan pertemuan  dengan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF), bagi meneliti kaedah terbaik untuk menangani berita-berita palsu atau pun sebaran maklumat tak benar.

Jelasnya, pertemuan itu adalah inisiatif oleh pihaknya untuk merangka usaha-usaha yang lebih baik untuk masa akan datang selepas kemerosotan kedudukan negara dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 menyaksikan Malaysia berada di kedudukan ke-107.

Bagaimanapun kata Fahmi, kedudukan berkenaan masih lagi berada dalam keadaan yang normal dan tidak terlalu teruk berbanding sewaktu pemerintahan kerajaan terdahulu.

"Saya merupakan Menteri Komunikasi pertama yang bertemu dengan pihak RSF dan kita telah bersetuju untuk mengadakan siri pertemuan perbincangan untuk kita meneliti cara-cara lebih baik untuk menangani berita palsu atau pun sebaran maklumat tidak benar.

"Mereka telah memberi komitmen jadi Insya-Allah dalam masa yang terdekat kita akan adakan pertemuan susulan dan macam saya sebut semalam saya terima laporan ini dengan hati terbuka", katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke reruai kementerian komunikasi pada Program Madani Rakyat Zon Utara 2024 di Sungai Nibong.

Sementara itu, Fahmi berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan konsep kebebasan media dengan menyentuh isu 3R (bangsa, agama dan raja) selain menyebarkan fitnah serta berita palsu.

Beliau berkata hal ini kerana terdapat beberapa pihak yang masih memainkan memainkan isu 3R bagi kepentingan politik dan sesetengah pihak.

"Ada beberapa laman web telah diambil tindakan dan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) juga memaklumkan bahawa mereka sememangnya menyebarkan berita palsu dan memainkan isu 3R," katanya.

Terdahulu, Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang disiarkan RSF menunjukkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media Dunia jatuh 34 anak tangga ke kedudukan ke-107 berbanding 73 tahun lalu.

Dalam indeks berkenaan, kedudukan Malaysia merosot kepada 52.07 mata berbanding 2023 yang mencatatkan sebanyak 62.83 mata.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD