PUTRAJAYA, 14 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pertemuan tertutup bersama Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di Seri Perdana, di sini hari ini sebagai satu sesi yang sangat positif dan membina.
Perdana Menteri mengungkapkan pertemuan itu sebagai sangat baik selain memberi gambaran jelas terhadap komitmen dan semangat kebersamaan dalam kalangan wakil rakyat Kerajaan Perpaduan.
"Sangat baik," katanya ringkas kepada pemberita ketika ditanya mengenai hasil pertemuan tertutup berkenaan.
Pertemuan selama lebih satu jam setengah itu menghimpunkan Ahli-Ahli Parlimen PH termasuk menteri kanan serta pimpinan utama parti komponen, antaranya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Pertemuan itu bertujuan menyelaras pendirian dan kefahaman bersama terhadap beberapa isu utama menjelang sidang Dewan Rakyat akan datang.
Ia termasuk perbincangan berkaitan dasar percukaian, penstrukturan subsidi dan aspek perundangan melibatkan Perlembagaan Persekutuan.