KUALA LUMPUR, 10 Januari- Kehadiran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dalam industri pertanian dilihat sebagai suatu perubahan positif terutamanya menerusi teknik serta kaedah penanaman pertanian seiring kemajuan teknologi semasa.
Tidak terkecuali alumni Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Shafiq Saari, 34 yang terlibat dalam perniagaan melibatkan pertanian.
Muhammad Shafiq berkata perniagaan pertanian negara adalah luas justeru belia perlu mengambil peluang untuk menerokai bidang tersebut.
"Kerjaya pertanian tidak hanya tertumpu kepada menjual hasil tanaman malah penjualan perkhidmatan konsultasi, penyediaan dan pemasangan sistem penamanan, perkhidmatan Internet Kebendaan (IoT) dan Pengurusan Aplikasi Pertanian (Apps Management) boleh dilakukan," katanya.
Sebelum bergiat aktif dalam bisnes pertanian, Muhammad Shafiq menimba pengalaman teknologi pertanian ketika menyediakan projek akhir iaitu mengadaptasikan Geographical Information System (GIS dan Site Specific Management) pada kawalan serangga perosak dan penyakit pada tanaman menggunakan kaedah fertigasi.
"Saya menggunakan kaedah tersebut untuk kawalan serangga perosak dan penyakit pada ladang durian bersaiz 100 ekar dan kemudian saya menggunakan kaedah ini pada 60, 000 tanaman pokok di kebun cili Braintree Sdn. Bhd," katanya lagi.
Dalam pada itu Muhammad Shafiq berpandangan pengajian pertanian masih relevan namun perlu selari dengan era kemodenan seperti penambahbaikan dalam silibus pembelajaran.
"Pertama sekali persepsi bidang pertanian tiada masa depan adalah apabila petani dan agensi tiada pemusatan data dan kalendar tanaman. Perkara ini menyebabkan lambakan hasil tanaman di setiap negeri.
"Perkara yang patut dilaksanakan adalah melaksanakan tanaman daerah bermusim ataupun kumpulan pakar tanaman membina kumpulan yang boleh mengikut jadual tanaman," kata Muhammad Shafiq.
Pada masa sama belia yang terlibat dengan perniagaan pertanian perlu didedahkan dengan ilmu keusahawanan untuk membentuk kemahiran dalam perniagaan.
"Keusahawanan itu perlu ada pada setiap petani yang akan menyebabkan pemikiran pada belia pertanian itu menguntungkan dan bukan sebagai perjudian yang mempertaruhkan modal dengan tanam dan rugi atau untung yang tidak pasti," katanya.
Menurut alumni Fakulti Pertanian itu, program keusahawanan dari agensi pertanian, kursus penjualan, kursus pasca penuaian, kursus teknologi pertanian, gabungan idea dari pakar pertanian akan memupuk minat perniagaan agro dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Kreatifkan diri dalam pertanian kerana peluang besar di dalam bidang pertanian. Dalam 400,000 petani sedia ada dalam Malaysia, jangan termasuk dalam golongan tersebut tetapi jadilah orang yang mengetuai golongan 400,000 petani dalam Malaysia," katanya menutup bicara.