fb fb fb fb fb

UMS Tech Talent Hub 2024 ke arah jadikan Labuan hab 'blockchain' terkemuka

Owen Chen Chee Onn (tiga kiri) dan Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal (tiga kanan)

LABUAN, 10 Jun- Seiring hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menjadikan Labuan sebagai hab 'blockchain' terkemuka, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan pertandingan 'UMS Tech Talent Hub 2024'.

Inisiatif itu dijayakan menerusi kerjasama antara Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Neurogine Sdn Bhd dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).
 
Sebanyak RM50,000 disalurkan oleh Neurogine bagi penganjuran pertandingan yang melibatkan pelajar UMS dari Sabah dan Labuan.
 
Matlamatnya adalah mencari bakat generasi muda dalam bidang kecerdasan buatan (AI) serta rantaian 'blockchain'
 
"Ini akan merancakkan lagi permintaan daripada aspek kemahiran tenaga dan insaniah dalam industri 'blockchain' itu sendiri," kata Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan dan Pengerusi Jawatankuasa pertandingan, Prof Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal.

"Industri pemain macam kita berkongsi maklumat dan teknologi... bagaimana boleh buat penambahbaikan. Kita sangat yakin dengan kerjasama UMS dan Neurogine, kita ada satu kelebihan di rantau ini... di Labuan, Sabah , Brunei, Indonesia dan Filipina," kata Ketua Pegawai Eksekutif Neurogine, Owen Chen Chee Onn.
 
Neurogine merupakan sebuah syarikat teknologi kewangan yang berpusat di Labuan, komited untuk memupuk pemimpin masa depan dalam bidang teknologi, kewangan dan pemasaran.

SITI AISHAH MD ISA