Pertandingan serkap ikan meriah, tarik penyertaan pelbagai peringkat umur

MATA AYER, 19 Oktober -Pertandingan Serkap Ikan Ikut Trekta Kampung Pokok Sena dimeriahkan dengan penyertaan lebih 30 peserta termasuk kanak-kanak, belia dan orang dewasa yang dianjurkan secara tahunan di kampung berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertandingan Serkap Ikan Ikut Trekta di Kampung Pokok Sena menarik lebih 30 peserta dari pelbagai peringkat umur.
  • Acara tradisional ini hanya diadakan semasa musim membajak sawah sebelum penanaman padi bermula.
  • Program ini mengeratkan hubungan komuniti dan menonjolkan semangat kekitaan penduduk setempat.
  • Acara tahunan berpotensi dipromosikan sebagai tarikan pelancongan dan cara hidup masyarakat desa.
  • Jenis ikan yang ditangkap termasuk keli, haruan, puyu, sepat dan lampam, menambah elemen keseronokan.

Pertandingan tradisional itu menggunakan serkap untuk menangkap ikan dan hanya dapat diadakan ketika musim membajak sawah, sebelum penanaman padi dimulakan semula.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Pokok Sena, Mohd Nor Ismail, pertandingan itu sentiasa dinanti-nantikan penduduk setempat kerana bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama mereka, malah turut menjadi tarikan aktiviti desa yang berpotensi dipromosikan kepada pelancong.

“Pertandingan ini mampu mengeratkan hubungan antara penduduk selain sebagai salah satu aktiviti di kawasan kampung yang boleh dipromosikan sebagai salah satu cara hidup masyarakat kepada pelancong,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, sambutan terhadap penganjuran acara ini amat menggalakkan setiap tahun walaupun hadiah yang ditawarkan hanya berupa hamper, namun keseronokan dan semangat kekitaan yang terhasil menjadikannya lebih bermakna.

Antara jenis ikan darat yang berjaya ditangkap termasuk keli, haruan, puyu, sepat dan lampam.