KUALA LUMPUR, 5 Mei- Persidangan Ketua-ketua Agama Sedunia 2024 dan Majlis Ulama Asia 2024 akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 7 dan 8 Mei ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar dalam satu kenyataan berkata, penganjuran kedua-dua program tersebut adalah untuk membangun wawasan tamadun bagi menyatukan nilai kesederhanaan dan perpaduan.
"Menangani ancaman pemikiran ekstremis dan mengubah konflik kepada persefahaman, kerjasama dan perpaduan.
"Ia dijangka akan dihadiri oleh 1500 peserta terdiri daripada para ulama, cendekiawan, pemimpin politik, ahli parlimen, ahli akademik dan tokoh-tokoh pemimpin agama Islam dan bukan Islam melibatkan lebih daripada 50 buah negara," katanya.
Persidangan Antarabangsa Pemimpin Agama 2024 yang akan berlangsung pada 7 Mei itu bertemakan Kesatuan Dalam Kepelbagaian (Unity Within Diversity).
Ucapan perasmian dijadual akan disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Petaling Jaya dan disiarkan secara langsung menerusi RTM, TV1.
Turut dijangka hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung Muslim World League Dr. Mohammad Abdulkarim Al-Issa; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri-Menteri Kabinet dan Duta-Duta Negara Asing.
Sementara itu persidangan Majlis Ulama Asia 2024 pada 8 Mei pula melibatkan seramai 200 para ulama dari dalam negara dan negara-negara Asia yang bertemakan 'Perpaduan' (Unity).
"Semoga dengan penganjuran Persidangan Ketua-Ketua Agama Sedunia dan Majlis Ulama Asia ini akan mencapai matlamat yang ditetapkan serta dapat menerapkan mesej agenda Malaysia MADANI dan Transformasi al-Falah ke arah memartabatkan Islam di mata dunia,” katanya.
Persidangan itu anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Liga Dunia Muslim (Muslim World League), Arab Saudi (Rabitah al-Alam al-Islami).
Ia merupakan kesinambungan daripada Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022.
Orang ramai boleh menonton liputan penuh persidangan tersebut di menerusi Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).