fb fb fb fb fb

Persiapan lengkap sebelum lawatan rasmi PM ke Arab Saudi

(Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir)

PUTRAJAYA, 28 Mac- Persiapan awal yang menyeluruh telah dibuat sebelum lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini.

Persiapan itu meliputi beberapa siri perbincangan bersama pihak kerajaan Arab Saudi.

Wisma Putra menerusi satu kenyataan menjelaskan, perbincangan diadakan dengan Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur, setelah cadangan tarikh lawatan diterima.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry juga mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Arab Saudi semasa lawatan beliau ke Riyadh pada 19 hingga 22 Febuari lalu.

Pertemuan itu antara lain menyentuh secara spesifik tentang lawatan Perdana Menteri dan kesesuaian tarikh serta perancangan hasil lawatan.


(Ketibaan Perdana Menteri dan delegasi Malaysia di Jeddah telah disambut oleh
Gabenor Jeddah Putera Saud Bin Abdullah Bin Jalawi Al Saud)

Perbincangan juga diadakan antara Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dengan Kementerian Luar Arab Saudi serta beberapa pihak lain yang berkenaan, ke arah memastikan lawatan rasmi Perdana Menteri berlangsung dengan jayanya.

"Perbincangan-perbincangan tersebut telah menyerlahkan kesediaan di pihak Kerajaan Arab Saudi untuk menerima dan menentukan supaya Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri berjaya diadakan dan mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Kementerian Luar telah menerima Nota Diplomatik daripada Kedutaan Besar Arab Saudi yang bertarikh 21 Mac lalu mengesahkan tarikh lawatan itu. Nota Diplomatik serupa turut diterima Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh daripada Kerajaan Arab Saudi.

"Kedua-dua Nota Diplomatik merujuk Lawatan Rasmi Perdana Menteri pada 22 – 25 Mac 2023 termasuk program kunjungan hormat terhadap Yang Teramat Mulia Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud.

"Nota Diplomatik tersebut jelas menyatakan Kerajaan Arab Saudi mengalu-alukan lawatan Perdana Menteri termasuk pelaksanaan ibadah umrah di Makkah Al-Mukarramah dan ziarah di Madinah AlMunawwarah," menurut kenyataan Wisma Putra.

Kenyataan itu menegaskan bahawa polemik lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi yang dibangkitkan sesetengah pihak lebih bersifat spekulasi dan jauh menyimpang daripada fakta sebenar.

Tindakan kelompok tertentu memainkan isu tersebut secara negatif tidak adil kepada Wisma Putra dan Kerajaan Malaysia serta kepada Kementerian Luar dan Kerajaan Arab Saudi.

Media Baharu