PUTRAJAYA, 22 Mac – Rakyat Malaysia diseru menolak suara-suara sumbang yang boleh memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum demi mengekalkan keharmonian dan kestabilan negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menegaskan perpaduan adalah asas penting dalam membina Malaysia MADANI yang maju dan harmoni.
“Sehubungan itu, masyarakat perlu mengambil peluang untuk memahami antara satu sama lain, saling menghormati serta memperkukuh ikatan kekeluargaan dan persaudaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sentuhan Kasih Ramadan anjuran KPKT di Putrajaya, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut berharap usaha yang dilaksanakan KPKT, termasuk inisiatif Tandas Awam Bersih, Menawan, Wangi (BMW), dapat memberi manfaat kepada masyarakat menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, hampir 12,000 tandas awam di seluruh negara telah dinaik taraf dengan kos kira-kira RM900 juta setakat ini.
“Menerusi inisiatif ini, Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) turut membelanjakan RM18 juta untuk menaik taraf 34 tandas awam di kawasan rehat dan rawat (R&R) sepanjang lebuh raya utama,” jelasnya.