
KUALA LUMPUR, 28 Februari – Permohonan untuk Skim Dana Padanan (SDP) 2026 kini dibuka hingga 27 Mei depan yang menawarkan geran hingga RM250,000 bagi setiap permohonan diluluskan untuk menyokong penghasilan karya dalam sektor industri kreatif negara.
- Skim Dana Padanan (SDP) 2026 ditawarkan dengan geran padanan sehingga RM250,000 bagi setiap permohonan diluluskan.
- SDP menyokong penghasilan karya asli dan harta intelek baharu dalam pelbagai disiplin seni serta memperkukuh pertumbuhan perniagaan kreatif.
- Insentif CEMI menyokong konsert dan acara berskala besar, merangsang ekonomi serta membuka peluang pekerjaan dan manfaat kepada perniagaan tempatan.
Inisiatif di bawah MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) itu adalah sebahagian daripada aspirasi Belanjawan MADANI yang turut melibatkan pelancaran Insentif Konsert dan Acara di Malaysia (CEMI) 2026.
MyCreative dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan SDP 2026 melibatkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta manakala CEMI menerima peruntukan sebanyak RM10 juta.
“Skim ini menawarkan geran padanan untuk penghasilan karya asli baharu atau harta intelek baharu dalam sektor seni persembahan, seni visual, muzik, kandungan kreatif, seni tradisional dan kebudayaan serta seni multidisiplin. Permohonan daripada sektor kreatif lain yang disokong MyCreative turut akan dipertimbangkan, tertakluk kepada kriteria dan objektif program,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan MyCreative tersebut turut menyebut SDP diwujudkan bagi menyokong pertumbuhan perniagaan dan memperkukuh industri kreatif yang berpotensi memberi impak jangka panjang kepada ekonomi negara.
Sementara, CEMI direka khusus untuk menyokong penganjuran konsert dan acara berskala besar yang melibatkan artis tempatan serta antarabangsa.
“Program rebat kewangan itu mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi acara bertaraf antarabangsa, selain merangsang aktiviti ekonomi, membuka peluang pekerjaan dan memberi limpahan manfaat kepada industri serta perniagaan tempatan,” menurut kenyataan berkenaan.
Untuk rekod, CEMI berjaya menjana limpahan ekonomi sebanyak RM39.48 juta pada tahun lalu menerusi penganjuran lapan konsert berskala besar dengan jumlah dana diluluskan sebanyak RM8.96 juta.
Maklumat lanjut berkenaan pendaftaran dan pemohonan bagi SDP boleh dibuat menerusi laman sesawang www.mycreative.com.my/grants, manakala permohonan CEMI di www.mycreative.com.my/CEMI.