fb fb fb fb fb

Permohonan masuk TVET meningkat 3.75% - Ahmad Zahid

Foto BERNAMA

PASIR MAS, 6 Julai- Permohonan memasuki institusi pengajian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara meningkat sebanyak 3.75 peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu didorong tahap kesedaran tinggi dan penerimaan baik ibu bapa terhadap usaha kerajaan dalam mengangkat martabat pendidikan TVET negara.

Ini terutama dalam membuka peluang kerjaya lebih baik, demi masa depan anak-anak mereka.

"Ini bukan kerana publisiti, tapi kerana tawaran- tawaran dalam kursus yang diberikan juga telah menarik minat ibu bapa yang selama ini menganggap TVET ini tidak ada kecemerlangan dalam pendidikan.

"..Tapi alhamdulillah apa yang kerajaan lakukan ini telah menukar persepsi dalam kalangan ibu bapa yang mengajak anak-anaknya untuk memasuki TVET dan kita tahu bahawa peluang gaji serta kerjaya itu cukup tinggi," kata Ahmad Zahid pada sidang media di sini.

Jelasnya, ketika ini terdapat 1,345 institusi TVET awam dan swasta beroperasi di seluruh negara yang menawarkan lebih 4,000 kursus berbeza berkaitan TVET.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Karnival Kerjaya dan Sukan Anak Muda MADANI di Pasir Mas.

Sementara itu, Ahmad Zahid menerusi ucapannya turut menekankan keseimbangan terhadap tuntutan duniawi dan ukhrawi.

"Keseimbangan ini penting supaya dalam kita mengejar hal-hal berkaitan ukhrawi berkaitan akhirat, kita harus juga melihat bahawa soal-soal kepentingan masa depan kita dan anak-anak kita.

"..Dimulakan dengan generasi muda yang merupakan kumpulan terbesar di negara ini, di mana mereka adalah aset negara yang harus diberi keprihatinan," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyifatkan kerugian MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) bernilai lebih RM286 juta disebabkan kesilapan pelaburan yang melampau.

Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa aset yang dibeli oleh MARA Inc di luar negara dibeli melebihi harga pasaran.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah tidak akan bertoleransi berhubung perkara itu dan akan mencari jalan untuk mengatasi masalah berkenaan supaya isu sama tidak berulang.

"Saya tidak boleh bertoleransi dalam perkara ini.

"Saya yakin walaupun 'recovery' (pemulihan) proses itu mengambil masa yang lama, saya akan pastikan tidak berlaku pecah amanah, tidak berlaku penyelewengan, apatah lagi penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana pengurusan anak-anak syarikat di bawah MARA," kata Ahmad Zahid.

Media sebelum ini melaporkan, MARA Inc merekodkan kerugian terkumpul berjumlah RM286.3 juta pada tahun 2022 ekoran pelaksanaan aktiviti yang kurang cekap.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2024 baru-baru ini mendedahkan MARA Inc turut mencatatkan defisit pegangan saham berjumlah RM115.73 juta dan menanggung liabiliti semasa berjumlah RM234.96 juta pada tahun 2022.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM