Permohonan Biasiswa Tunku Abdul Rahman 2026 dibuka hingga 8 April

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 8 Februari Permohonan Biasiswa Tunku Abdul Rahman (BTAR) bagi tahun 2026 dibuka mulai hari ini hingga 8 April depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permohonan Biasiswa Tunku Abdul Rahman 2026 dibuka sehingga 8 April melalui laman rasmi Yayasan Tunku Abdul Rahman.
  • Biasiswa komprehensif menyokong pelajar berkeperluan dan berpotensi tinggi untuk pengajian ijazah sarjana muda di universiti tempatan.
  • Penilaian holistik mengambil kira latar belakang, cabaran hidup dan aspirasi calon; YTAR telah membantu lebih 10,600 pelajar.

Pengumuman dibuat Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang ketika Majlis Memperingati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Muzium Negara, hari ini.

“BTAR merupakan biasiswa komprehensif yang disediakan bagi menyokong pelajar berkeperluan serta berpotensi tinggi untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di universiti awam dan swasta tempatan,” jelasnya ketika sidang media.

Biasiswa ini menggunakan pendekatan penilaian holistik dengan mengambil kira latar belakang, cabaran kehidupan serta aspirasi calon.

“Sehingga kini, Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) telah membantu lebih 10,600 pelajar di seluruh negara sejak penubuhannya, manakala permohonan boleh dibuat melalui laman YTAR untuk mengetahui lanjut tentang faedah dan elaun,” katanya.

Datuk Aaron berkata legasi dan falsafah kepimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman berkaitan pembinaan negara bangsa kini diteruskan oleh Kementerian Perpaduan Negara menerusi tema “Bersama Membina Negara Bangsa”, yang dijadikan tonggak utama usaha memperkukuh perpaduan nasional.

“Dalam landskap masyarakat majmuk yang semakin kompleks serta berdepan cabaran seperti polarisasi sosial dan perbezaan pandangan, gagasan negara bangsa menjadi wahana penting bagi menyatukan rakyat melalui perkongsian identiti nasional, nilai sepunya dan semangat kebersamaan sebagai satu bangsa Malaysia,” je;asnya.

KPN akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk sesi libat urus, perbincangan meja bulat, sesi dalog awam serta Persidangan Negara Bangsa yang dijadualkan berlangsung pada September tahun ini.

Majlis memperingati itu turut diadakan bagi mengenang sumbangan besar Almarhum Tunku Abdul Rahman sebagai Bapa Kemerdekaan dan Perdana Menteri pertama negara, yang telah meletakkan asas kukuh pembinaan sebuah negara merdeka, berdaulat dan berteraskan perpaduan.

Dalam masa sama, majlis tersebut turut diserikan dengan pelbagai program sisipan antaranya Wacana Memperingati Tunku Abdul Rahman, bengkel doodle dan seni kartun perpaduan serta demonstrasi seni lukisan doodle perpaduan.

Arkib Negara Malaysia turut menganjurkan Pameran “Tunku Negarawan Ulung: Pengasas Negara Bangsa” yang dibuka kepada orang ramai mulai 1 Februari hingga 29 Mac 2026, dari pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang di Muzium Negara.

Permohonan Biasiswa Tunku Abdul Rahman 2026 boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web rasmi www.yayasantar.org.my.