fb fb fb fb fb

Permintaan komoditi sawit dipengaruhi bekalan dan pengeluaran – Johari

Permintaan terhadap kelapa sawit bergantung kepada keseimbangan antara bekalan dan pengeluaran/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Februari - Kerajaan komited untuk terus memastikan kestabilan industri sawit negara, termasuk dalam aspek tenaga kerja dan kecekapan pengeluaran, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Susulan itu, Johari berkata permintaan terhadap kelapa sawit bergantung kepada keseimbangan antara bekalan dan pengeluaran.

"Jika permintaan tinggi tetapi pengeluaran berkurang, harga akan meningkat. Sebaliknya, jika pengeluaran terlalu banyak tetapi permintaan rendah, harga akan turun.

"Namun, sebagai negara pengeluar kedua terbesar kelapa sawit dunia, kerajaan sentiasa memastikan pengeluaran kekal konsisten dan tidak terjejas.

"Salah satu faktor utama adalah memastikan setiap ladang mempunyai tenaga kerja mencukupi. Jika tenaga kerja tidak mencukupi, buah sawit yang telah masak tidak dapat dituai, dan ini akan menjejaskan peluang kita untuk meningkatkan pengeluaran," katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menegaskan bahawa penggunaan bahan penanaman berkualiti serta amalan pertanian yang baik perlu diterapkan dalam industri bagi memastikan hasil lebih tinggi dan kos pengeluaran dapat dikurangkan.

"Apabila hasil meningkat dan kos pengeluaran dapat dikurangkan, permintaan terhadap sawit negara juga akan bertambah di pasaran global," tambahnya.

Tambah beliau, harga komoditi tidak boleh ditetapkan oleh mana-mana pihak kerana ia bergantung sepenuhnya kepada faktor penawaran dan permintaan di pasaran.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta berhubung isu kekurangan tenaga kerja dan kestabilan harga komoditi dalam sektor perladangan negara.

GRACE AISYAH KEDAYAN