fb fb fb fb fb

Perlu ada inovasi penerimaan aduan rakyat-Aminuddin

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Sembilan pada Isnin/FOTO FB dsaminuddinharun

SEREMBAN, 28 November - Semua jabatan dan agensi kerajaan di Negeri Sembilan perlu melaksanakan inovasi dalam sistem penerimaan aduan awam sekali gus memastikan tindakan segera dapat diambil.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kegagalan menyelesaikan setiap aduan rakyat atau memberi maklum balas boleh memberi persepsi negatif terhadap kerajaan negeri.

"Masih kedengaran apabila masyarakat menyampaikan komen atau aduan mengenai sesuatu perkara berkaitan jabatan tersebut, mereka menyerahkan kepada jabatan lain, dan perkara itu berlaku saban tahun; telah lama berlaku dan tidak seharusnya berulang lagi.

"Perlu ada inovasi penerimaan aduan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Sembilan di sini pada Isnin.

Dalam pada itu, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM9.87 juta pada tahun ini untuk mengukuhkan sistem penyampaian awam yang lebih cekap sejajar dengan Pelan Ekonomi Digital Negeri Sembilan (PEDNS).

Pengukuhan tadbir urus digital (digital governance) berkenaan disokong melalui jaringan Internet yang meluas dan kebolehcapaian yang tinggi.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD