
KANGAR, 12 November– Pembangunan Perlis menerusi Pelan Pembangunan Peneraju Perlis Progresif 2030 perlu memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat, pengukuhan keterhubungan fizikal dan digital serta daya saing ekonomi negeri.
- Utamakan keperluan masyarakat: kemudahan asas, keselamatan, keselesaan, pendidikan dan persekitaran kondusif.
- Perkukuh keterhubungan fizikal dan digital untuk memudahkan pergerakan, merangsang aktiviti ekonomi dan capaian teknologi di luar bandar.
- Tingkatkan infrastruktur bagi melancarkan aktiviti ekonomi dan memperbaiki kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
- Kejayaan pembangunan diukur melalui peningkatan taraf hidup, peluang pekerjaan, pendapatan serta pembahagian hasil yang adil dan menyeluruh.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pembangunan negeri perlu mengambil kira keperluan kehidupan masyarakat termasuk kemudahan asas, keselamatan, keselesaan, pendidikan dan persekitaran kondusif.
Baginda bertitah keterhubungan fizikal dan digital juga perlu terus dipertingkatkan bagi memudahkan pergerakan rakyat, merangsang aktiviti ekonomi serta memastikan penduduk luar bandar menikmati akses teknologi dan peluang baharu.
“Keterhubungan yang baik merupakan asas penting dalam memacu kemajuan sesebuah negeri. Justeru, pembangunan infrastruktur fizikal dan digital perlu terus diperkukuh bagi memudahkan pergerakan rakyat, melancarkan aktiviti ekonomi, serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian sempena Peluncuran Pelan Pembangunan Peneraju Perlis Progresif 2030 dan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Perlis di sini.
Menurut baginda, kemajuan negeri bukan hanya dinilai menerusi pembangunan fizikal dan pertumbuhan ekonomi, malah turut diukur berdasarkan peningkatan taraf hidup, peluang pekerjaan serta pendapatan rakyat.
Baginda berharap daya saing ekonomi negeri dapat diperkukuh, pelaburan terus meningkat dan hasil pembangunan dapat dinikmati secara adil serta menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat.