Dokumentari khas imbas 75 tahun perjalanan KWSP

Nursyahida Abdullah

KUALA LUMPUR, 12 November – Perjalanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak penubuhannya pada 1951 didokumentasikan menerusi penerbitan khas Merintis Legasi: 75 Tahun Berbakti demi Ahli dan Negara sempena ulang tahun ke-75 institusi itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dokumentari 23 minit menghimpun rakaman arkib, peristiwa penting dan pengalaman pemimpin serta bekas kakitangan untuk merakam perkembangan institusi.
  • Pendekatan produksi menekankan kisah manusia, lakonan semula oleh kakitangan dalaman dan ketelitian semakan bahan arkib bagi memastikan ketepatan fakta.
  • Tayangan diumumkan di RTM pada 16 November, Astro AWANI pada 21 November; turut dilancarkan syiling dan buku kenangan.

Dokumentari berdurasi 23 minit itu menghimpunkan rakaman arkib, peristiwa penting serta perkongsian pengalaman bekas dan pemimpin semasa KWSP bagi merakam perkembangan institusi berkenaan sepanjang tempoh penubuhannya.

Ketua Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP, Nursyahida Abdullah berkata idea menghasilkan dokumentari itu tercetus ketika persiapan penerbitan buku khas The EPF Story (Lakaran Legasi) yang mengambil masa kira-kira tiga tahun.

“Dokumentari itu dihasilkan bagi mengetengahkan kisah di sebalik perjalanan KWSP yang selama ini lebih banyak dikaitkan dengan angka dan statistik, selain memberi gambaran mengenai sumbangannya kepada kehidupan rakyat.

“Penghasilan dokumentari itu turut mendapat sokongan kakitangan lama KWSP yang berkongsi pengetahuan serta pengalaman institusi bagi memastikan fakta sejarah dan maklumat yang dipaparkan tepat,” katanya pada sesi pratonton khas dokumentari itu di ibu negara, hari ini.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif dan Pengarah Tangerine Films, Bobby Husaini berkata cabaran utama penerbitan dokumentari itu termasuk usaha merangkumkan sejarah KWSP selama 75 tahun dalam tempoh tayangan yang terhad.

“Pasukan produksi mengambil pendekatan mengetengahkan kisah manusia dan pengalaman individu yang menerima manfaat daripada peranan KWSP, selain memaparkan perspektif warga kerja institusi berkenaan.

“Dokumentari itu turut menampilkan lakonan semula kisah sebenar berkaitan KWSP dengan membabitkan kakitangan dalaman tanpa menggunakan pelakon profesional.

“Proses penerbitan turut memerlukan penelitian rapi terhadap bahan arkib dan fakta sejarah bagi memastikan setiap maklumat yang disampaikan tepat serta berasaskan fakta,” katanya.

Dokumentari berkenaan dijadualkan disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 16 November ini, pukul 1.30 petang, manakala Astro AWANI pada 21 November, pukul 8.30 malam.

Sempena ulang tahun ke-75 itu, KWSP turut memperkenalkan syiling peringatan dan buku The EPF Story (Lakaran Legasi) yang mendokumentasikan kisah individu serta peristiwa penting sepanjang perkembangan institusi berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.