fb fb fb fb fb

Perlis Inland Port bakal jadi hab logistik utama sempadan Malaysia-Thailand

nthony Loke menyaksikan pertukaran perjanjian strategik bagi pengoperasian dan penyelenggaraan Perlis Inland Port (PIP) yang diwakili Ketua Eksekutif Kumpulan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Inland Port Perlis Sdn Bhd (IPPSB), Arif Rida Shabaruddin (kanan) hari ini / BERNAMA

PADANG BESAR, 24 Mac – Pelabuhan Darat Perlis (PIP) bakal menjadi hab logistik strategik bagi pengendalian kargo domestik dan rentas sempadan, sekali gus memperkukuh hubungan perdagangan antara Malaysia dan Thailand.

Dibangunkan di atas kawasan seluas 500 ekar, PIP dilengkapi dengan infrastruktur moden dan kemudahan logistik terkini bagi memastikan operasi kargo lebih lancar dan cekap.

Menurut Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, lokasi PIP yang strategik di sempadan Malaysia-Thailand membolehkan operasi multimodal berjalan dengan lebih efisien. Ini termasuk pengendalian muatan, pemunggahan, dan pemindahan barangan antara kereta api serta pelbagai mod pengangkutan lain.

Jelasnya, fasa pertama PIP kini dalam pembinaan dan dijangka siap pada Julai tahun ini. Apabila beroperasi, kapasiti pengendalian kargo dijangka meningkat kepada 300,000 TEU (bersamaan 20 kaki) setahun, berbanding hanya 130,000 TEU setahun yang dikendalikan di Terminal Kontena Padang Besar (PBCT) ketika ini.

Menerusi pelaksanaan pembangunan penuh dalam tiga fasa, PIP akan berupaya mengendalikan sehingga 1 juta TEU setahun, sekali gus menjadikannya pusat logistik utama di utara Semenanjung.

Peningkatan kapasiti itu juga dijangka memberikan impak besar terhadap kelancaran operasi pengangkutan kargo antara Malaysia dan Thailand. Malah, ia turut menyasarkan peningkatan nilai perdagangan dua hala antara kedua-dua negara kepada AS$30 bilion menjelang 2027.

PIP juga bakal menawarkan perkhidmatan bernilai tambah seperti aktiviti pergudangan, penyimpanan, serta pusat pengumpulan dan pengedaran barangan, menjadikannya destinasi utama bagi perdagangan rentas sempadan.

"Dengan adanya kemudahan baharu di Perlis Inland Port ini, saya yakin ia dapat merancakkan lagi perdagangan antara Malaysia dan Thailand, terutama bagi kilang-kilang di selatan Thailand. Saya juga bangga melihat kerjasama erat antara PIP dan KTMB, yang bukan sahaja meningkatkan kapasiti pengangkutan tetapi juga memperkukuh peranan KTMB dalam sektor logistik," kata Loke.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Menandatangani Perjanjian Pengoperasian dan Penyelenggaraan Pelabuhan Darat Perlis antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Inland Port Perlis Sdn Bhd (IPPSB) di IBC-CVIA Gallery, Padang Besar.

Perjanjian itu menandakan satu langkah penting dalam memperkasa kapasiti logistik di Wilayah Utara serta memperkukuh perdagangan rentas sempadan antara Malaysia, Thailand, dan rantau ASEAN.

Majlis itu menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IPPSB, Arif Rida Shabarudin, menandatangani perjanjian tersebut dengan disaksikan oleh Loke sendiri.

Menerusi pembangunan PIP, Malaysia dijangka memainkan peranan lebih besar dalam perdagangan dan pengangkutan kargo serantau, sekaligus meningkatkan daya saing negara dalam sektor logistik.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE