fb fb fb fb fb

Perkukuh hubungan Malaysia-Kemboja, buka pelbagai peluang kerjasama

(Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) pada sidang media bersama Perdana Menteri
Kemboja, Hun Sen di Peace Palace, Phnom Penh, Kemboja, 27 Mac 2023/Foto Fail)

KUALA LUMPUR, 28 Mac- Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Kemboja, langkah tepat dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara ke tahap komprehensif.

Ia turut membuktikan komitmen Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkasa hubungan diplomatik yang mendalam sejak 1957 bersama negara itu.

Demikian pandangan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, UUM, Profesor Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin.

"Jadi kita boleh menggunakan platform perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) ini, bagaimana boleh fokus lebih terperinci industri atau sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan peluang kepada mereka menembusi pasaran serta meningkatkan kapasiti perniagaan di masa hadapan, terutama bagaimana mereka dapat terlibat dalam regional 'supply change'," katanya kepada RTM.

(Profesor Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin)

Lawatan itu juga disifatkan tepat pada masanya untuk memperkukuhkan hubungan dua hala berikutan Kemboja menyasarkan untuk menjadi negara berpendapatan sederhana tinggi menjelang 2050.

Ini termasuk sektor pelaburan, industri halal, teknologi digital, pendidikan dan pertahanan.

Selaras dengan perjanjian RCEP yang dimeterai 15 negara Asia-Pasifik termasuk 10 negara anggota Asean, Malaysia dan Kemboja perlu fokus untuk memberi keutamaan dalam sektor berkenaan bagi terus mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Pada 11 bulan pertama 2022, hasil perdagangan Kemboja dengan negara anggota RCEP termasuk Malaysia mencapai AS$28.4 bilion.

Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School, Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata langkah syarikat beras Malaysia dalam memenuhi keperluan import beras dan kacang gajus dari Kemboja dilihat sebagai permulaan yang positif untuk menggalakkan perdagangan kedua-dua negara.

"Kerana banyak kelebihan apabila kita melaksanakan perdagangan antara negara Asean kerana faktor logistiknya dan juga hubungan yang erat selama ini memudahkan perniagaan dan perdagangan dilakukan, bukan sahaja Malaysia dan Kemboja malah dengan negara Asean yang lain.

"Ini harus diambil berat oleh industri dan pengusaha bagaimana pasaran domestik dapat diperkembangkan untuk merangkumi 'region' atau arena Asean ini supaya semua dapat manfaat termasuk Malaysia dan negara anggota Asean yang lain," menurutnya.

(Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff)

Media Baharu