fb fb fb fb fb

Lawatan PM ke China, perkukuh hubungan, jana pelaburan berkualiti

KUALA LUMPUR, 28 Mac- Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China akan memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara, terutama dalam aspek perdagangan dan pelaburan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman yakin, kunjungan itu akan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti dan bernilai tinggi seterusnya mengekalkan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Jelasnya, China merupakan rakan dagang terpenting dan sumber pelaburan langsung asing terbesar bagi negara.


(Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)
Datuk Arham Abdul Rahman)

Tahun lalu, negara tembok besar itu menyumbang pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM55.4 bilion.

"Pelaburan dari China merupakan antara yang terbesar, China menduduki di tangga pertama pada tahun lepas, 2021 dan 2020.

"Jadi, dengan lawatan yang akan dibuat oleh Perdana Menteri akan memperkukuhkan lagi hubungan erat sedia ada di antara kerajaan China dan Malaysia. Secara tidak langsung ini juga memberikan satu mesej, bahawa lebih banyak pelaburan atau perdagangan dapat dihasilkan daripada lawatan yang dibuat oleh Perdana Menteri", katanya.

Bercakap secara eksklusif kepada RTM, beliau menjangkakan pelabur China bakal menunjukkan minat melabur dalam bidang teknologi digital dan logistik.

Perdana Menteri dijadual memulakan lawatan ke China bermula esok hingga 1 April.

Media Baharu