fb fb fb fb fb

PerKISS 2023 Kedah kumpul 661,554.44 kg barangan kitar semula

Pengarah SWCORP Kedah, Nordin Amat menunjukkan minyak masak terpakai yang berjaya dikumpul peserta Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) 2023 di Kedah

ALOR SETAR, 16 November- Sejumlah 661,554.44 kilogram barangan kitar semula berjaya dikumpul menerusi Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PerKISS) 2023 di Kedah.

Pertandingan itu disertai 196 buah sekolah yang merangkumi 116 buah sekolah rendah dan 80 buah sekolah menengah.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah, Nordin Amat berkata, pertandingan tersebut selaras dengan usaha kerajaan dalam merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-12 iaitu pengeluaran dan penggunaan tenaga yang efisien bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, inisiatif tersebut membuka mata masyarakat bahawa sisa pepejal khususnya barangan kitar semula mempunyai nilai dan sekaligus memberi galakan untuk sama-sama menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.

Ketika ini, katanya penglibatan agensi kerajaan, swasta, komuniti dan pertubuhan badan bukan kerajaan, NGO di Kedah dalam aktiviti kesedaran dan pembudayaan amalan 3R iaitu 'Reduc'e, 'Reuse' dan 'Recycle' masih rendah.

"Penerapan dan pembudayaan amalan 3R merupakan satu cabaran untuk mengubah sikap masyarakat untuk lebih menghargai sisa pepejal sebagai sumber untuk menjana pendapatan sampingan.

"Justeru, kerjasama antara Jabatan Pendidikan Negeri Kedah bersama SWCorp dan Environment Idaman Sdn Bhd dalam pembudayaan amalan 3R dapat membantu kerajaan dalam mencapai Dasar Kebersihan Negara (DKN).

“Melalui amalan 3R ini tidak semua sisa pepejal perlu dilupuskan di tapak pelupusan tetapi ada yang masih boleh dimanfaatkan. Amalan kitar semula dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk menjana pendapatan sampingan seterusnya meningkatkan ekonomi kitaran dengan mengoptimumkan penggunaan sisa pepejal sebagai sumber yang boleh diberi nilai tambah,” katanya kepada RTM selepas Majlis Penyampaian Hadiah PerKISS 2023 di Dewan Al-Farabi, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.

Sekolah Kebangsaan Pida 3 mengungguli pertandingan selepas menjuarai kategori utama sekolah rendah, kutipan tertinggi sekolah rendah bagi plastik dan aluminium, kategori khas 3R, dan kategori minyak masak terpakai tertinggi iaitu 1,595.4 kilogram.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE