TANJUNG MALIM, 24 Januari - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuhkan kerjasama yang terjalin dengan School of Oriental Studies and African Studies (SOAS), Universiti of London.
Ini menerusi lawatan kerja empat hari Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir ke United Kingdom dan Malta bermula hari ini.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Taff berkata antara tumpuan utama perbincangan menjurus kepada hal berkaitan penyelidikan bersama antara UPSI-SOAS, geran sepadan, pertukaran pelajar dan kaki tangan serta pembukaan kelas Bahasa Melayu untuk pelajar ijazah pertama dan pelajar lanjutan di SOAS.
"UPSI sentiasa komited dalam memperkasa dan memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat global," kata UPSI menerusi kenyataan.
Tambah Dr. Md Amin, perbincangan diadakan Dr. Zambry bersama Pengarah SOAS, Profesor Adam Habib.
Turut hadir pada perbincangan itu Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Abdul Rahim Razalli; Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Prof Madya Dr Mazura @Mastura Muhammad serta pegawai Education Malaysia London.
Dr. Md Amin berkata, sempena lawatan kerja itu juga, Dr. Zambry turut menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk Malay Studies Abroad : A Way Forward yang antara lain menekankan pentingnya mengangkat bidang Pengajian Melayu ke persada antarabangsa.
Katanya, ia berikutan bidang berkenaan merupakan bidang kajian disiplin yang menyentuh sesebuah wilayah dan wilayah yang dimaksudkan adalah wilayah Asia Tenggara yang mencakupi Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Kemboja dan Filipina serta kepulauan Melayu yang lain.
"Pengajian Melayu sebenarnya mempunyai tradisi dan sejarah budaya yang kaya dan panjang serta melangkaui sempadan geografi serta merentas pentas global.
“Pengajian Melayu dan Bahasa Melayu khususnya bukan sekadar alat perhubungan malah merupakan gerbang utama dalam memahami budaya yang bukan sahaja pelbagai, tetapi unik dan kaya,” kata Dr. Zambry.
Dr. Zambry berkata, dalam dunia yang begitu terbuka dan bebas pada hari ini, aspek memahami seterusnya menguasai bahasa dan budaya yang berbeza amat penting dalam dunia akademia dan perkara ini merupakan suatu keperluan utama.
Beliau berkata ia terbukti bahawa kepentingan Pengajian Melayu begitu signifikan dengan bersandarkan kepada pencapaian masa lalu diikuti dengan kecemerlangan masa kini yang digapai.
Malah ia menggambarkan kejayaan yang dicatatkan bukan sahaja membabitkan budaya masyarakat Melayu tetapi mencatatkan kejayaan sosioekonomi dan sosiopolitik abad ke-20 dan ke-21 seluruh penduduk di Nusantara.
"Dari segi kepakaran, manusia Melayu terbukti berjaya keluar dari kepompong wilayahnya sehingga kepakarannya diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti dalam bidang sosiopolitik, pengajian Melayu mencatatkan politik matang dalam kalangan orang Melayu," katanya.
Dr. Zambry turut memaklumkan sikap politik matang masyarakat Malaysia dilihat ketika berlakunya tsunami politik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Begitu juga dalam bidang teknologi, katanya, Malaysia kini menerjah kepada teknologi tinggi baik dari segi aeroangkasa mahupun perubatan moden menerusi angkasawan Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha manakala Dr. Nur Amalina Che Bakri, doktor pakar yang terkenal di United Kingdom yang dianugerahkan 'Highly Commended' in the Professions category at the UK Women of the Future Award 2021.
Malah, katanya, senibina Melayu juga sudah keluar dari kepompong wilayah Melayu dan menerjah ke gelanggang antarabangsa apabila pakar bidang seni bina, Profesor Dr. Ismawi Zain dilantik antara empat panel utama dalam pembesaran Masjidil Haram.
Sesi Syarahan Perdana itu turut dihadiri pensyarah dan 20 pelajar SOAS yang mengikuti kursus Bahasa Melayu dan Kepelbagaian Budaya yang dibimbing dua Sarjana Pelawat UPSI, Profesor Madya Dr Norliza Jamaluddin (Fakulti Bahasa dan Komunikasi), manakala Prof Madya Dr Samsudin Suhaili dari Fakulti Sains Kemanusiaan.