PUTRAJAYA, 4 Disember - Komitmen kerajaan memperkasa komuniti orang kurang upaya (OKU) diteruskan melalui dasar, latihan dan sokongan yang lebih tersusun.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, KPWKM sedang menubuhkan Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) sebagai pusat sehenti bagi menyediakan perkhidmatan saringan, intervensi awal, terapi, sokongan keluarga dan maklumat yang sahih.
"PPA merupakan inisiatif strategik di bawah JKM yang dilaksanakan melalui kerjasama bersama NGO agar lebih ramai keluarga mendapat akses kepada sokongan yang diperlukan," katanya dalam Majlis Perasmian Penutup Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan.
Tambahnya lagi, kerajaan turut memberi peruntukan sebanyak RM1.4 bilion bagi bantuan OKU serta RM20 juta geran bagi badan bukan kerajaan (NGO) yang menguruskan institusi OKU.
Dalam aspek mobiliti pula, Prasarana akan menyediakan 100 van mobiliti khas bagi memenuhi keperluan OKU di kawasan bandar dan luar bandar.
Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) diteruskan dengan peruntukan RM146 juta, manakala bantuan kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM3.1 bilion kepada lebih 560,000 isi rumah turut diberikan.
Turut hadir, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM.
Dalam majlis sama, Anugerah Khas OKU kategori usahawan, sukan dan akademik serta Anugerah Ibu Bapa Mithali turut disampaikan.
