fb fb fb fb fb

Perkasa Komuniti Madani, libatkan pelbagai lapisan masyarakat

Program JIWA Komuniti Madani

MATA AYER, 7 Julai- Lebih 300 penduduk setempat di bawah Komuniti Madani Kampung Pokok Sena, Simpang Tiga Dato Kayaman dan Kampung Kerisik memeriahkan Program JIWA Komuniti Madani anjuran Jabatan Penerangan Negeri Perlis.

Program melibatkan aktiviti menyedia, memasak dan mengagihkan lebih 600 pek bubur asyura yang disediakan secara bergotong-royong.

Menurut Penyelaras Komuniti Madani Parlimen Padang Besar, Hasni Jilani, ketiga-tiga komuniti di bawah DUN Mata Ayer bergabung dalam pelaksanaan program hari ini melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Program JIWA Komuniti Madani ini menjadi penghubung antara pihak kerajaan dan masyarakat setempat bagi menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada komuniti setempat dalam usaha memperkukuhkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum dan agama.

Pelbagai aktiviti boleh dirangka dan dijalankan untuk manfaat penduduk setempat disamping pihak Jabatan Penerangan (JAPEN) dapat menyampaikan maklumat mengenai dasar dan inisiatif kerajaan, selain isu-isu semasa dan kenegaraan kepada penduduk setempat agar lebih cakna akan perkembangan semasa.

Program JIWA Komuniti Madani yang mengabungkan tiga Komuniti Madani berlangsung di Kampung Pokok Sena, Mata Ayer.

Bagi Pengerusi Komuniti Madani Simpang 3 Tok Kayaman, Hakimi Othman, lebih banyak program bersama komuniti setempat perlu dilaksanakan dalam memperkukuhkan hubungan antara satu sama lain.

Terdapat 15 Komuniti Madani bagi Parlimen Padang Besar dengan setiap kawasan Dewan Undangan Negeri dengan tiga Komuniti Madani ditubuhkan.

ROSLINA BINTI DIN