fb fb fb fb fb

Perkara 125 antara fokus utama taklimat tertutup Ahli Parlimen PH

Datuk Fahmi Fadzil/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 14 Julai – Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan, khususnya berhubung penubuhan tribunal kehakiman, antara isu utama yang diberi penekanan dalam sesi taklimat tertutup bersama Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said turut hadir memberi penjelasan terperinci mengenai aspek perlembagaan itu yang kini menjadi tumpuan umum.

"Datuk Seri Azalina juga hadir untuk memberi penjelasan tentang perkara berkaitan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 125 dalam perlembagaan mengenai pembentukan tribunal antara hakim dan beberapa perkara yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian secara ringkas ketika ditemui pemberita selepas tamat sesi tersebut di Kompleks Seri Perdana, di sini.

Datuk Fahmi turut memaklumkan bahawa sesi yang berlangsung selama satu jam setengah itu berjalan dalam suasana harmoni dan mendapat penerimaan baik daripada Ahli Parlimen yang hadir.

"Sangat-sangat baik, diterima baik oleh Ahli-ahli Parlimen dan insha-Allah kita lihat perkara-perkara yang berbangkit. Insya-Allah kita percaya apa yang telah disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diterima baik oleh Ahli Parlimen Pakatan Harapan," katanya lagi.

Datuk Fahmi turut memaklumkan bahawa beliau menantikan sidang media rasmi pasca mesyuarat kabinet bagi mendapatkan gambaran penuh isu-isu lain yang mungkin dibincangkan di peringkat Jemaah Menteri.

Perjumpaan hari ini adalah sebahagian daripada sesi libat urus antara Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan, selepas sesi pertama bersama Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada 11 Julai lalu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI