fb fb fb fb fb

Perkampungan PATI, lebih 10 kawasan utama dikenal pasti di seluruh negara - Ayob Khan

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay

KUALA LUMPUR, 29 Disember - Lebih 10 kawasan yang menjadi "perkampungan" utama pendatang asing tanpa izin (PATI) dikenal pasti di seluruh negara.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata antara kawasan tersebut ialah di sekitar Lembah Klang, Johor, Kedah dan Kelantan.

Beliau berkata pihaknya akan meneruskan operasi menggempur kawasan berkenaan seperti yang dilakukan di ‘Mini Dhaka’, Jalan Silang.

"InsyaAllah kita akan terus lancarkan operasi bersepadu dari semasa ke semasa. Fokus kita ialah premis-premis yang dikuasai warga asing. Operasi ini operasi yang berterusan dan kita akan buat secara konsisten," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini.

Pada majlis tersebut, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad dilantik sebagai Pengarah JPJKK baharu, menggantikanDatuk Seri Aidi Ismail yang akan bersara pada 1 Januari depan.

Dalam perkembangan lain, Ayob Khan berkata dalang sindiket akan menjadi keutamaan polis dalam usaha menumpaskan kegiatan pengedaran dadah

Beliau berkata, operasi kali ini bukan sahaja menggunakan pendekatan berbeza malah akan dikuatkuasakan di bawah Kesalahan Jenayah Terancang dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Kita punya sasaran ialah sindiket, keseluruhan anggota kumpulan sindiket ini. Mungkin lepas ini akan ada rampasan, tapi fokus kita adalah untuk menangkap dan mengambil tindakan terhadap ketua sindiket dan juga orang-orang kanannyalah yang memainkan peranan penting," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN