fb fb fb fb fb

Perjanjian kerjasama trilateral akan diperluas, langkaui bidang pertahanan semasa

KUALA LUMPUR, 28 Mac- Malaysia, Indonesia dan Filipina sepakat menyegerakan penempatan Pegawai Perhubungan Peronda Maritim Trilateral yang kekal di Pusat Pemerintahan Maritim setiap negara.

Ia bagi memastikan pertukaran maklumat serta aktiviti penguatkuasaan di kawasan maritim dan udara, dilaksana dengan lebih berkesan.

Perkara itu diputuskan Menteri Pertahanan ketiga-tiga negara dalam Mesyuarat Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) yang berlangsung di Kuala Lumpur, hari ini.

Mesyuarat turut bersetuju untuk memperluas TCA melangkaui bidang pertahanan semasa dengan menggabungkan pendekatan pelbagai agensi secara cekap.

Juga, memberi tumpuan terhadap aktiviti risikan untuk operasi pengawasan pada masa depan.

"Ketiga, memastikan tumpuan diberikan terhadap aktiviti risikan untuk operasi pengawasan pada masa depan. Ia bertujuan meningkatkan produktiviti dan ketepatan dalam mengekang aktiviti jenayah indeks berkaitan keganasan di rantau ini," kata Hishamuddin .

Jelas beliau lagi, TCA telah memainkan peranan penting sebagai penghalang terhadap tindakan jenayah keganasan di Laut Sulu dan Sulawesi.

Buktinya, tiada kes penculikan untuk wang tebusan dilaporkan sepanjang tahun lepas.

Mesyuarat Peringkat Menteri TCA diadakan di luar Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia.

Terdahulu, Hishamuddin hadir menyaksikan pemeteraian Memorandum Kerjasama (MOC) antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Malaysia dengan syarikat pertahanan terbesar Indonesia, PT Pindad.

Kerjasama strategik itu membolehkan kedua-dua pihak membangunkan perniagaan dalam sektor pertahanan negara masing-masing dan serantau.

Ia dilaksana menerusi perkongsian pengalaman dan kepakaran.

MOC itu ditandatangani Ahmad Nazim bagi pihak LTAT manakala PT Pindad diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya - Abraham Mose.

Hadir sama menyaksikan pemeteraian dan pertukar MOC itu, ialah Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto


(Pemeteraian Memorandum Kerjasama (MOC) antara LTAT Malaysia dengan syarikat pertahanan terbesar Indonesia, PT Pindad)

Media Baharu