SEREMBAN, 24 November – Majlis Perhimpunan Pembantu Tadbir Negeri Sembilan 2025 berlangsung dengan tumpuan utama terhadap isu kenaikan gred dalam kalangan penjawat awam.
Majlis itu turut menjadi platform untuk menyuarakan harapan dan tuntutan pembantu tadbir agar proses penambahbaikan skim perkhidmatan dijalankan secara menyeluruh.
Menurut Presiden CUEPACS Dato’ Dr. Haji Adnan Mat, pihaknya konsisten memperjuangkan penetapan gred minimum perkhidmatan melalui semakan SSPA, khususnya bagi kumpulan pelaksana.
Beliau berkata perjuangan menaikkan gred sedia ada, termasuk gred 19, masih diteruskan bagi memastikan kebajikan penjawat awam terus terpelihara.
“Kami telah memperjuangkan melalui SSPA supaya gred yang paling rendah juga ditetapkan kepada gred 19. Kami telah berjaya mendapatkan gred 19 sebagai gred paling rendah, namun usaha untuk meningkatkan gred 19 asal masih diteruskan,” kata Dato’ Dr. Adnan.
Dato’ Dr. Adnan menegaskan bahawa CUEPACS akan terus memperjuangkan kenaikan gred bagi pembantu tadbir dan kumpulan pelaksana selaras dengan beban tugas serta peranan besar mereka dalam sistem pentadbiran negara.
Beliau berkata demikian dalam Perhimpunan Pembantu Tadbir Gred 1 ke Gred 5, Luahan Rasa, Pujuk Jiwa PT Terasa di Klana Resort, Seremban.