SEREMBAN, 30 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keprihatinan kepada keluarga Allahyarham Mohd Yazid Zakaria, Konduktor Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Istana Budaya yang meninggal dunia semalam selepas mengalami kekejangan otot dan rebah di kediamannya di Seremban.
Pengarah ICU Negeri Sembilan, Datuk Noor Ihsan Che Mat yang mewakili Perdana Menteri ketika menyampaikan sumbangan berkata, ia bagi meringankan beban yang kini dialami keluarga Allahyarham.
"Perdana Menteri amat terkejut dengan pemergian Allahyarham. Sebagai tanda keprihatinan, beliau telah meminta saya mewakili beliau untuk sampaikan sumbangan peribadi beliau kepada keluarga. Semoga ia dapat meringankan beban keluarga. Say aturut dimaklumkan bahawa anak sulung beliau bakal melangsungkan perkahwinan jadi sumbangan ini diharap dapat membantu sedikit sebanyak," katanya.
Sementara itu, anak kedua allayarham turut menzahirkan rasa terharu dan ucapan terima kasih atas sumbangan dan sokongan moral yang diberikan kepada keluarga mereka.
"Arwah ayah pernah pesan agar jangan lokek. Bersedekah jika ada rezeki lebih dan sentiasa berbuat baik kepada orang lain. Bahawa Allah sentiasa ada dan hormatilah satu sama lain.
"Arwah ayah juga sering berpesan agar mengutamakan keluarga kerana walaupun ayah sering sibuk, ayah akan luangkan masa untuk balik menjenguk kami sekeluarga," tambahnya ketika ditemui media.
Allayarham Mohd Yazid Zakaria sempat memberi sumbangan terakhir dengan mengetuai Orkestra Musik Tradisional semasa Majlis Makan Malam Gala Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berakhir Selasa lalu.
