SEPANG, 24 Oktober -Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão, tiba di Malaysia hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan.
Pesawat khas yang membawa beliau mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar pukul 12.30 tengah hari.
Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Xanana kemudian diberi penghormatan memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Kapten Mohd Masrur Hidayat Masri.
Tiba dengan penuh keyakinan, Xanana tersenyum ketika ditanya media berhubung kemungkinan pengumuman penting pada Ahad ini.
“Sudah tentu, saya datang untuk ini,” jawabnya ringkas.
Kehadiran awal beliau mencerminkan kesungguhan Timor-Leste untuk lebih aktif dalam kerjasama serantau, seiring dengan aspirasi negara itu untuk menjadi anggota rasmi ASEAN.
Timor-Leste mengemukakan permohonan rasmi menyertai ASEAN pada Mac 2011, hampir satu dekad selepas mencapai kemerdekaan pada 2002.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dijangka menghimpunkan para pemimpin negara anggota dan rakan dialog utama bagi membincangkan hala tuju rantau dalam aspek ekonomi, politik dan sosial.
Acara itu turut disifatkan sebagai pertemuan terbesar dalam sejarah ASEAN serta menjadi platform penting memperkukuh kerjasama kolektif menghadapi cabaran global secara inklusif.
Antara pemimpin dunia yang dijadual hadir ialah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; Perdana Menteri China, Li Qiang; Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa.
Tahun ini menandakan kali kelima Malaysia diberi mandat sebagai Pengerusi ASEAN sejak 1967, selepas memegang peranan tersebut pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.