DAVOS, 20 Januari - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan siri lawatan kerja ke Davos, Switzerland bermula hari ini.
Beliau dijadual menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 bagi membincangkan peranan dan sumbangan teknologi baharu mendepani cabaran global.
Menurut Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Datuk Nadzirah Osman penyertaan Perdana Menteri dalam WEF 2025 bertepatan dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia pada 2025.
"Selain meningkatkan keterlihatan negara di arena antarabangsa, ia juga membuka peluang strategik untuk memperkukuh kepimpinan Malaysia dalam menghadapi cabaran isu global dan serantau.
"Pada masa sama, penyertaan Perdana Menteri membuka peluang untuk menonjolkan dasar dan inisiatif Negara bawah Kerangka Malaysia MADANI serta keutamaan-keutamaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025," katanya pada sidang media, di sini.
Tambahnya lagi, penglibatan Malasyia dalam WEF secara tidak langsung mampu mempamerkan potensi negara di arena antarabangsa dengan membuka peluang strategik, memperkukuh kepimpinan Malaysia mendepani cabaran global dan serantau. Sekali gus membuka peluang menonjolkan dasar dan inisiatif negara bawah Kerangka Malaysia MADANI, serta keutamaan ASEAN-Malaysia 2025.
"Selaku Pengerusi ASEAN 2025, penglibatan Malaysia di WEF 2025 akan memberi peluang untuk YAB Perdana Menteri menyuarakan pandangan ASEAN secara kolektif di peringkat global, sekali gus meningkatkan lagi profil dan kepimpinan Malaysia.
"Keberadaan Perdana Menteri di Davos juga boleh dimanfaatkan untuk mengetengahkan keutamaan, inisiatif dan cabaran yang dihadapi oleh Negara-Negara ASEAN dan serantau, termasuk isu-isu berkepentingan bersama seperti perubahan iklim, tenaga boleh baharu, transformasi digital dan pembangunan mampan.
"Ini membuka peluang untuk jalinan kerjasama strategik antara ASEAN dengan masyarakat antarabangsa, termasuk peluang-peluang pelaburan dan pembiayaan teknologi ke rantau ini,” katanya.
Melalui WEF, Malaysia berpeluang mengetengahkan dasar-dasar baharu dan progresif Kerajaan Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Bertemakan “Collaboration for the Intelligent Age", WEF 2025 akan membincangkan peranan dan sumbangan emerging technologies dan inovasi terkini dalam menangani isu-isu ekonomi global,
"Perbincangan akan tertumpu kepada lima keutamaan tematik: Industries in the Intelligent Age; Rebuilding Trust; Reimagining Growth; Investing in People; dan Safeguarding the Planet," katanya lagi.
Tambahnya lagi, barisan pemimpin dunia dan perniagaan akan mengupas usaha-usaha peningkatan hubungan ekonomi kepada tahap yang lebih berdaya saing menerusi inovasi dan kerjasama antara pelbagai pemegang taruh, tatkala dunia sedang mengalami pergolakan geopolitik.