Perdana Menteri adakan perbincangan pusingan kedua bersama pemimpin Asia Barat

Foto Bernama

PUTRAJAYA, 16 Mac – Konflik Asia Barat yang semakin kompleks mendatangkan kebimbangan terhadap kesannya kepada dunia Islam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri memulakan perbincangan pusingan kedua dengan pemimpin negara di rantau berkenaan untuk meredakan ketegangan.
  • Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan konflik berlanjutan yang boleh mencetuskan pertembungan antara negara-negara Islam.
  • Beliau menyeru kebijaksanaan diplomatik, kerjasama dan perpaduan antarabangsa bagi memelihara keamanan dan kestabilan serantau serta menegaskan penderitaan Palestin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah memulakan perbincangan pusingan kedua dengan beberapa pemimpin negara di rantau berkenaan sebagai usaha meredakan ketegangan.

Dalam perbincangan terbaharu itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan konflik berlanjutan yang boleh mencetuskan pertembungan dalam kalangan negara Islam.

“Sudah tentu keadaan kini menjadi lebih kompleks. Saya telah berhubung dengan para pemimpin di Oman, Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu, Turkiye dan juga Iran.

Melalui komunikasi saya dalam pusingan kedua dengan Menteri Luar Iran, saya telah menyatakan perkara tersebut dan saya menghargai hakikat bahawa mereka telah memberikan jaminan yang jelas bahawa keadaan ini tidak seharusnya membawa kepada pertempuran atau konflik antara negara-negara Islam,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Mushaf Malaysia MADANI di Kompleks Percetakan Bersepadu Nasyrul Quran di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, keadaan semasa amat rumit dan menuntut kebijaksanaan diplomatik semua pihak bagi mengelakkan ketegangan daripada terus memuncak.

“Ini adalah satu keadaan yang sukar dan kompleks. Saya hampir dapat memahami apabila sesebuah negara terpaksa berdepan dengan bentuk keangkuhan yang begitu ketara seperti ini, malah saya boleh katakan sebagai suatu reka bentuk neo-imperialis,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan dunia Islam tidak boleh melupakan penderitaan rakyat Palestin di Gaza yang terus berdepan serangan berpanjangan.

Perdana Menteri juga menyeru kerjasama dan perpaduan dalam kalangan negara serta masyarakat antarabangsa bagi memastikan keamanan dan kestabilan serantau dapat dipelihara.