Perbezaan pandangan, kritikan politik perlu diterima secara terbuka

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

PUCHONG, 8 Januari – UMNO menegaskan bahawa perbezaan pandangan dan kritikan merupakan sebahagian daripada budaya politik yang perlu diterima dengan terbuka, khususnya dalam kalangan pemimpin muda parti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Terima perbezaan pandangan dan kritikan sebagai sebahagian daripada budaya politik.
  • Tangani ketidaksefahaman secara matang melalui penjelasan, bukan tindakan singkat.
  • Pelihara idealisme pemimpin muda disertai adab dan kefahaman perbezaan pendapat.
  • Kepimpinan yang pernah memegang jawatan perlu sedia menerima kritikan dalam politik matang.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, individu yang pernah memegang jawatan kepimpinan, termasuk Ketua Pemuda UMNO, seharusnya memahami bahawa kritikan dan pandangan berbeza tidak asing dalam perjuangan politik.

Dalam dunia politik tidak semua pihak akan bersetuju dengan pendirian yang dibawa dan ketidaksefahaman itu perlu ditangani secara matang melalui penjelasan, bukannya dengan menafikan hak orang lain untuk bersuara.

“Ini perjuangan politik dan kita terima bahawa dalam politik ini bukan semua orang bersetuju dengan kita. Jadi kalau tidak bersetuju, tangani ketidaksujuan itu dengan perjelasan, bukan dengan jalan singkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 bersama warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), di sini hari ini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut menegaskan bahawa idealisme dalam kalangan pemimpin Pemuda UMNO perlu terus dipelihara, namun ia harus disertai dengan adab, kefahaman terhadap perbezaan pendapat serta keupayaan menerima kritikan dalam landskap politik matang.