
KUALA LUMPUR, 4 Mac – Kerajaan menghargai peranan senator dalam memperluaskan perbincangan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sehingga berjaya diangkat sebagai agenda nasional.
- Peranan senator dihargai atas usaha mengangkat MA63 menjadi perbincangan nasional dan meningkatkan kefahaman rakyat.
- Penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 dipengerusikan Perdana Menteri memperkukuh pelaksanaan perjanjian.
- Dashboard Status Pelaksanaan MA63 dilancarkan untuk memantau kemajuan, menarik lebih 6,000 pengguna.
- Rancangan menubuhkan Ombudsman Malaysia bertujuan mempertingkatkan ketelusan, integriti dan kepercayaan terhadap pentadbiran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, penglibatan senator termasuk dari Semenanjung mencerminkan perkembangan positif dalam meningkatkan pemahaman rakyat terhadap asas pembentukan Malaysia.
“Saya lihat amat menarik, semakin ramai yang mahu membincangkan isu MA63 ini dan kita telah dapat mengangkatnya sebagai agenda nasional. Ada sebahagian senator ini bukan dari Borneo, daripada rakan-rakan kita di Semenanjung.
“Ini satu perkembangan yang baik untuk kita mula memaknai isu-isu berkaitan MA63 yang menjadi teras kepada pembentukan Malaysia,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara.
Beliau turut memaklumkan kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan Perdana Menteri.
Setakat ini, 13 daripada 29 perkara yang dibincangkan telah diselesaikan, termasuk sembilan dimuktamadkan semasa pentadbiran Kerajaan MADANI.
Pada 28 Januari lalu, kerajaan turut melancarkan Dashboard Status Pelaksanaan MA63 yang diintegrasikan melalui portal rasmi Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS).
Lebih 6,000 pengguna telah mengakses portal itu bagi memantau perkembangan pelaksanaan perjanjian berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran memaklumkan penubuhan Ombudsman Malaysia akan menggantikan Biro Pengaduan Awam serta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan menerusi proses peralihan terancang.
Menurut beliau, Ombudsman Malaysia akan berfungsi sebagai badan berkanun persekutuan yang bebas dari segi pelantikan, pengurusan dan siasatan aduan, termasuk mempunyai kuasa untuk memulakan siasatan atas inisiatif sendiri.
Rang Undang-Undang Ombudsman kini dalam proses penggubalan dengan peruntukan kuasa penguatkuasaan yang jelas serta jaminan sumber kewangan dan tenaga kerja mencukupi bagi memastikan institusi itu beroperasi secara berkesan, bebas dan berintegriti.
Langkah memperkukuh pelaksanaan MA63 dan menubuhkan Ombudsman Malaysia mencerminkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan ketelusan, integriti serta kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran negara.