fb fb fb fb fb

Perak peruntuk RM55,000 kepada 11 koperasi

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad

IPOH, 16 Disember - Kerajaan Perak menyalurkan insentif sebanyak RM55,000 kepada 11 koperasi di negeri itu yang berjaya tersenarai dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia pada tahun ini.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemberian insentif berkenaan bukan sahaja sebagai penghargaan, malah ia sebagai dorongan supaya lebih banyak koperasi mencapai kecemerlangan sama.

Jelas beliau, jumlah koperasi di Perak yang tersenarai dalam Profil 100 Koperasi Terbaik Malaysia merupakan kedua tertinggi selepas Wilayah Persekutuan.

"Pencapaian ini jelas membuktikan bahawa gerakan koperasi di Perak terus cemerlang dan mampu menjadi contoh kepada koperasi-koperasi lain di seluruh negara.

"Kejayaan ini jelas membuktikan keupayaan koperasi untuk menyesuaikan diri dengan cabaran yang semakin rencam serta mampu memanfaatkan setiap peluang yang ada dengan sebaik mungkin," kata Saarani.

Beliau berucap pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi Negeri Perak tahun 2024, di sini.

Tambahnya, kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan lebih RM600,000 bagi pembangunan dan kawal selia koperasi sepanjang tahun ini.

Ujarnya, hasil peruntukan itu lebih 700 gerakan koperasi di negeri berkenaan telah menerima manfaat dengan melibatkan lebih 35,000 anggota.

TETITIA YUSOFF