fb fb fb fb fb

Perak kenal pasti tapak baharu lapangan terbang di Bota

(FOTO HIASAN)

SERI ISKANDAR, 28 Julai - Satu tapak baharu telah dikenal pasti kerajaan negeri Perak bagi tujuan pembinaan lapangan terbang bertaraf antarabangsa berhampiran Felcra Nasaruddin di Bota.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata lokasi baharu itu terletak kira-kira 40 kilometer dari tapak cadangan asal lapangan terbang di Seri Iskandar.

Katanya, satu kajian terperinci diperlukan sebelum cadangan pembinaan lapangan terbang di tapak seluas 1618.7 hektar tersebut dapat dilaksanakan.

(Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri,
Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin)

"Satu perjumpaan diadakan dengan Colebrand International Limited iaitu syarikat kejuruteraan infrastruktur dari United Kingdom berhubung tapak bagi pembinaan lapangan terbang baharu itu.

“Pihak syarikat kemudian dibawa ke lokasi yang dicadangkan di mana mereka akan menjalankan kajian bagi melihat kesesuaian tapak berkenaan sebelum menyerahkan hasil kajian tersebut kepada kerajaan negeri,” katanya dalam sidang media selepas mendengar taklimat dan pembentangan berkaitan projek itu di Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah, di sini.

Tambah Nizar, cadangan pembinaan lapangan terbang baharu itu secara prinsipnya telah dipersetujui oleh kerajaan Persekutuan.

“Syarikat ini telah pun berjumpa pihak Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Pengangkutan dan Menteri Besar Perak bagi memberi gambaran berkaitan pembinaan lapangan terbang itu.

"Cuma saya hendak beritahu bahawa cadangan lapangan terbang antarabangsa ini tidak ada unsur-unsur bersaing dengan mana-mana lapangan terbang yang ada, tidak ada unsur-unsur bersaing dengan KLIA, lapangan terbang Pulau Pinang tapi dia melengkapi salah satu daripadanya," katanya.

Media Baharu