IPOH, 10 September - Kerajaan Negeri Perak berjaya menoktahkan kemiskinan tegar seramai 9,686 Ketua Isi Rumah (KIR), bagi tempoh 2024 hingga 3 September lepas.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kejayaan berkenaan menjadikan negeri ini berjaya merekodkan angka sifar KIR miskin Tegar.
Beliau menjelaskan, jumlah tersebut melibatkan 8,986 KIR pada tahun lepas dan 700 KIR setakat ini.
"Selain itu, sehingga 3 September 2025 kita juga telah berjaya mengeluarkan seramai 5,719 KIR dari status miskin menjadikan angka terkini KIR miskin di Perak adalah sebanyak 2,064 KIR iaitu penurunan sebanyak 73.6 peratus," katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Tambah beliau, antara langkah diambil kerajaan negeri bagi menoktahkan kemiskinan adalah penekanan kepada program peningkatan pendapatan melalui bantuan peralatan perniagaan dan program pemadanan pekerjaan yang dapat membantu peserta meningkatkan ekonomi kendiri serta keluarga.