fb fb fb fb fb

Perak catat 262 penduduk terjejas banjir dan satu PPS dibuka di Kedah

Salah sebuah PPS yang masih dibuka di Perak

IPOH, 14 November - Jumlah penduduk terjejas banjir di Perak direkodkan seramai 262 orang daripada 78 keluarga, setakat pukul 10.00 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu keyataan berkata, tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka melibatkan empat daerah.

"Di daerah Hilir Perak, jumlah penduduk terjejas banjir paling ramai dipindahkan adalah di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak menempatkan 111 penduduk daripada 33 keluarga.

"26 penduduk daripada 6 keluarga pula berlindung di PPS Dewan Serbaguna Chikus.

"PPS Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu dan Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di daerah Kerian menempatkan 80 penduduk daripada 23 keluarga," menurut kenyataan itu.

Sementara itu di daerah, Kinta 23 penduduk daripada lapan keluarga dipindahkan ke dua PPS iaitu di Dewan Orang Ramai (MBI) Taman Meru 2A dan Dewan Orang Ramai Kampung Sri Kinta.

Manakala di Hulu Perak, seramai 22 penduduk daripada lapan keluarga berlindung di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Gerik.

Dalam pada itu di Kedah, sebuah PPS dibuka di daerah Kubang Pasu malam tadi berikutan banjir kilat yang melanda kerana hujan lebat semalam.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah,Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd. Zain dalam satu kenyataan berkata PPS tersebut dibuka di Sekolah Kebangsaan Malau yang menempatkan seramai 43 penduduk terjejas daripada 11 keluarga setakat pukul 8.00 pagi tadi.

PPS terbabit dibuka pukul 10.25 malam tadi menempatkan penduduk terjejas dari Kampung Paya Tok Keong, Paya Tok Teh serta Kampung Biak di Mukim Malau.

"Hujan lebat melanda melebihi tiga jam semalam bermula pukul 5.00 petang menyebabkan beberapa kawasan terbabit dinaiki air.

"Bilangan penduduk terjejas yang dipindahkan ke PPS terbabit ialah lapan lelaki, 14 wanita dewasa, 14 kanak-kanak , lima warga emas dan dua orang kurang upaya (OKU)," menurut kenyataan itu.

Beliau berkata, status air sungai ketika ini menunjukkan paras air semakin naik dan anggotanya sedang melakukan pemantauan di kawasan terjejas yang dinaiki air.

TETITIA YUSOFF