Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi
(tengah) memotong pulut kemerdekaan sebagai gimik program KMJG 2023 peringkat negeri Perak/ BERNAMA)
BAGAN SERAI, 17 Julai- Kerajaan Negeri Perak melalui Jabatan Penerangan (JaPen) negeri akan menganjurkan lebih banyak program berbentuk kenegaraan dan patriotik dalam usaha menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang 2023.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi Helmi berkata bagi memastikan program itu memberi impak secara holistik, ia akan disebar luas ke seluruh daerah di Perak.
Jelasnya, setakat ini, Program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 yang bermula semalam telah menerima sambutan baik dalam kalangan masyarakat.
"Jabatan Penerangan negeri akan bekerjasama baik dengan semua agensi di peringkat semua daerah untuk memperbanyakkan lagi aktiviti-aktiviti kibaran Jalur Gemilang.
"Kita libatkan masyarakat untuk bersama-sama, dan akhirnya yang paling penting ialah intipati sayangkan negara itu sendiri dengan kibaran Jalur Gemilang ini menjadikan rakyat malaysia kembali sayangkan negara kita, sayangkan perpaduan," katanya.
(Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi/ FB Penerangan Perak Page)
Beliau ditemui selepas merasmikan program Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 Peringkat Negeri Perak yang berlangsung di Kolej Komuniti Bagan Serai di sini, hari ini.
Sebanyak 44 kenderaan pelbagai jenis terlibat secara langsung dalam konvoi KMJG di Perak.
Program melibatkan kakitangan JaPen Perak, Jabatan Pengangkutan Jalan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Kelab Permotoran BMW K-16 Malaysia.
Konvoi KJGM 2023 Peringkat Negeri Perak yang berlangsung selama dua hari bermula semalam melibatkan enam kawasan iaitu Ipoh, Teluk Intan, Manjung, Kuala Kangsar, Taiping dan Kerian.
Program konvoi itu akan diteruskan dengan penyerahan Jalur Gemilang kepada Pulau Pinang.
Sebanyak 132 check point seluruh negara akan dilalui sebelum konvoi berakhir di Putrajaya pada 31 Ogos nanti.