Penyertaan tenaga buruh wanita disasar 60 peratus menjelang 2030

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying / Foto BERNAMA

GEORGE TOWN, 8 Mac – Kerajaan menyasarkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita di negara ini meningkat kepada 60 peratus menjelang 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kadar penglibatan wanita dalam tenaga buruh ialah 56.9 peratus.
  • Sasaran selaras dengan Dasar Wanita Negara yang menekankan pemerkasaan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi.
  • Program Wanita MyWira menawarkan latihan kemahiran dalam teknologi digital, kecerdasan buatan dan ekonomi masa depan.
  • Kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan care economy dan menggalakkan penglibatan wanita dalam ekonomi kreatif serta Ekonomi Jingga.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata setakat ini penglibatan wanita dalam tenaga buruh adalah sebanyak 56.9 peratus.

Beliau berkata sasaran itu selaras dengan Dasar Wanita Negara yang menekankan usaha memperkasa penyertaan wanita dalam sektor ekonomi negara.

“Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai program bagi memastikan sasaran ini dapat dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya kepada media di sini hari ini.

Menurutnya, antara inisiatif yang diperkenalkan ialah program Wanita MyWira yang menyediakan latihan kemahiran kepada wanita dalam bidang teknologi digital, kecerdasan buatan serta ekonomi masa depan.

Selain itu, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi penjagaan atau care economy, memandangkan ramai wanita memikul tanggungjawab menjaga anak-anak, warga emas serta ahli keluarga yang memerlukan perhatian khas.

Penglibatan wanita dalam sektor ekonomi baharu termasuk ekonomi kreatif dan Ekonomi Jingga yang merangkumi bidang seni, budaya, kraf, fesyen serta kandungan digital turut digalakkan.

Lim berkata demikian selepas mengedarkan kira-kira 2,500 kuntum bunga teluki (carnation) kepada orang ramai sempena Hari Wanita Antarabangsa di Pasar Chowrasta dan Pasar Cecil, di sini.