KUALA LUMPUR, 7 Julai -Penyertaan penuh Timor-Leste dijangka dapat memperluas skop liputan geografi bagi Protokol Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata, penyertaannya sekali gus dapat memperkukuh pendirian ASEAN sebagai blok yang bersatu dalam menolak kehadiran senjata nuklear di rantau ini.
"Penyertaan penuh Timor-Leste kelak akan melengkapkan liputan geografi perjanjian ini dan mengukuhkan suara kolektif ASEAN dalam isu penting ini.
"Kita menantikan penyertaannya secara rasmi menjelang Oktober tahun ini, seperti yang telah disebut dalam sesi-sesi terdahulu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SEANWFZ ExCom di ibu negara hari ini.
Perjanjian itu masih memerlukan kemajuan lebih ketara, terutama dalam usaha memastikan penyertaan negara-negara pemilik senjata nuklear ke dalam Protokol SEANWFZ.
Ini berikutan kemajuan dalam melibatkan kuasa-kuasa besar nuklear masih dilihat bergerak perlahan, meskipun cadangan berkenaan telah dibincangkan sejak beberapa tahun lalu.
"Sejak Perjanjian ini ditandatangani, masih belum ada satu pun kuasa nuklear yang menandatangani Protokol kepada Perjanjian SEANWF," katanya lagi.
ASEAN memikul tanggungjawab kolektif untuk terus berinteraksi dengan kuasa-kuasa nuklear secara strategik dan berprinsip.
Ia bagi membuktikan bahawa aspirasi rantau ini adalah wajar dan seiring dengan norma antarabangsa.