KUALA LUMPUR, 5 Oktober - Penyertaan Malaysia dalam Triti Angkasa bawah United Nations Committee on the Peaceful Uses of Outer Space (UNCOPUOS) tepat pada masanya.
Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Datuk Azlikamil Napiah berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen Malaysia dalam usaha merancakkan lagi sektor angkasa di negara ini.
"Kejayaan ini turut menterjemahkan komitmen semua pihak yang terlibat dalam pembangunan ekosistem teknologi angkasa di negara ini bahawa aktiviti-aktiviti berkaitan teknologi angkasa akan dilaksanakan secara lebih selamat dan bertanggungjawab."
Langkah itu juga, menurutnya dapat meningkatkan lagi keyakinan.
Sekali gus, memperkukuh tadbir urus angkasa lepas di peringkat global.
"Justeru, sudah tentu usaha ini akan meningkatkan lagi keyakinan dan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha-usaha yang sedang dilaksanakan oleh Malaysia. Kita percaya bahawa angkasa tiada sempadan tetapi semua pihak bertanggungjawab untuk memastikan ianya diurus dengan lebih baik," tambah beliau.
Selain itu, ia mencerminkan usaha berterusan Malaysia bagi mematuhi kerangka undang-undang antarabangsa bawah naungan Pertubuhan Bangsa Bersatu, selain memastikan keselamatan serta kelestarian penggunaan angkasa lepas.