fb fb fb fb fb

Penyedia platform media sosial bersedia dilesenkan - Fahmi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sidang Anak Muda Program Kita-Untuk-Kita (K2K)

CYBERJAYA, 3 Ogos - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata penyedia platform media sosial secara dasarnya telah menyatakan kesediaan untuk dilesenkan.

Bagaimanapun beliau berkata, belum ada penyedia perkhidmatan berkenaan yang mengemukakan permohonan untuk mendapatkan lesen.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kesedaran dan peringatan mengenai kepentingan pendaftaran akan diberikan kepada pihak terlibat dari semasa ke semasa agar lebih bertanggungjawab.

"Kita nak platform-platform lebih bertanggungjawab. Sekarang ini kita lihat platform-platform dah terhantuk baru terngadah.

"Dah terima surat atau pun panggilan baru lah nak datang tapi kita lihat you (platform media sosial) menjana pendapatan dari Malaysia, jadi mesti bersedia dan bertanggungjawab mematuhi undang-undang.

"Belum lagi (terima permohonan) sebab kita baru umum 1 Ogos lepas (kerangka kawal selia atau perlesenan perkhidmatan media sosial).

"(Sekarang) proses libat urus dan saya baru balik dari Singapura bertemu semua platform.

"Saya percaya berdasarkan pertemuan dan perbincangan saya dengan platform, mereka telah nyatakan kesediaan secara dasar untuk dilesenkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Anak Muda Program Kita-Untuk-Kita (K2K) di sini pada Sabtu.

Beliau berkata telah menyatakan perkara itu ketika mengadakan pertemuan bersama pengendali media sosial baru-baru ini di Singapura.

Pada 27 Julai, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Langkah itu akan dikuat kuasa bermula 1 Januari 2025, susulan kerangka kawal selia atau perlesenan perkhidmatan media sosial diperkenal bermula 1 Ogos, bagaimanapun ia tidak melibatkan pengguna platform media sosial berkenaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN