
KUALA LUMPUR, 18 Januari – Usaha penyatuan orang Melayu perlu didasari oleh asas yang positif tanpa melibatkan unsur kebencian atau ancaman terhadap kaum lain.
- Penyatuan Melayu mesti berasaskan nilai positif tanpa unsur kebencian atau ancaman terhadap kaum lain.
- Kerjasama antara kaum diperlukan untuk memperkukuh kemajuan bangsa, bukan pendekatan eksklusif atau bermusuhan.
- Persaingan politik dan ekonomi perlu berlandaskan prestasi dan kualiti, bukan retorik atau prejudis perkauman.
Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menegaskan pendekatan berasaskan ketakutan atau “antikaum lain” hanya akan merosakkan keharmonian negara serta menjejaskan perpaduan nasional yang menjadi teras kestabilan Malaysia.
“Kenapa orang Melayu tidak boleh bersatu membangunkan bangsa sendiri tanpa adanya unsur ketakutan dan kebencian?
“Unsur-unsur negatif ini tidak akan membawa kebaikan, sebaliknya hanya merosakkan suasana dalam negara dan bangsa Melayu itu sendiri,” katanya ketika selepas program Temu Rapat Pidato Presiden (Pesan2026), pada Ahad.
Khalid berkata orang Melayu seharusnya bersatu dengan matlamat memperkukuh kemajuan bangsa melalui kerjasama dengan semua kaum, bukannya bersifat eksklusif atau bermusuhan.
Beliau turut mengambil contoh pencapaian masyarakat bukan Melayu yang berjaya memperkasakan komuniti mereka tanpa mewujudkan permusuhan, malah terus bekerjasama dengan orang Melayu demi kemajuan bersama.
Mengulas mengenai persaingan politik dan ekonomi, Khalid berkata masyarakat perlu menerima hakikat bahawa kejayaan hari ini bergantung kepada prestasi dan kualiti perkhidmatan, bukan prejudis atau retorik perkauman.
Dalam pada itu, beliau menegaskan sebarang usaha membentuk “Kolaborasi Agung” melibatkan pemimpin parti-parti Melayu-Islam haruslah bertujuan membawa kemajuan holistik, bukan sekadar mempamerkan imej sebagai “hero” yang menentang kaum lain.