fb fb fb fb fb

Penyasaran subsidi petrol 2025: KPDN pergiat pemantauan

Pengarah Pejabat KPDN dan  Kos Sara Hidup Negeri Kedah Muhammad Nizam  Jamaludin/ Foto RTM

CHANGLUN, 23 Oktober-Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah akan mempergiatkan pemantauan termasuk  operasi melalui  risikan menjelang  pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025 .

Pengarah Pejabat KPDN dan  Kos Sara Hidup Negeri Kedah Muhammad Nizam  Jamaludin berkata setakat ini empat pendekatan dilaksanakan termasuk penugasan pegawai secara statik di enam stesen minyak berhampiran sempadan  bertujuan membendung aktiviti penyelewengan barang kawalan terutamanya petrol dan diesel

Katanya, naziran atau audit dilakukan di enam stesen minyak berkenaan serta rondaan di kawasan hot spot melalui Unit Rondaan Penguatkuasa yang mula ditubuhkan sejak awal tahun 2024.

"Pihak KPDN Kedah sendiri, sentiasa buat pemantauan seperti Op Statik kita telah adakan di enam stesen minyak, ada lima di Kubang Pasu, dan satu di Baling. Jadi, sudah sebulan benda ini berjalan dan kita akan giatkan lagi operasi dengan cara risikan selepas data diperolehi", katanya demikian pada sidang media selepas  melakukan pemeriksaan statik dam Ops Tiris 3.0 di dua buah stesen minyak di berdekatan sempadan Bukit Kayu Hitam di sini.

Jelasnya penugasan pegawai secara statik  akan dilaksanakan sehingga hujung bulan ini dan akan diteruskan berdasarkan capaian  data yang dikumpul.

Pada pembentangan Belanjawan 2025 , kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025  dengan anggaran sekitar RM12 bilion untuk 85 peratus rakyat Malaysia.

Sehingga kini, harga RON95 Malaysia ialah RM2.05 seliter berbanding  Thailand RM5.85.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD